AGENDANASIONAL

PRK Kimanis: Kamera video tidak jejas kerahsiaan undi

KIMANIS, 14 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan pengenalan penggunaan kamera video di saluran mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini tidak akan menjejaskan kerahsiaan proses undian.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata tujuan utama penggunaan kamera itu adalah untuk memastikan perjalanan proses undian lebih telus dengan meneliti proses tersebut daripada mula pengundi memasuki saluran sehingga selesai mengundi.

“SPR juga boleh meneliti semula rakaman video tersebut pada masa hadapan bagi tujuan menambah baik kualiti (proses undian) dan juga pengalaman pengundi mengundi.

Saya tidak rasa ada orang akan bimbang atau takut kerana kerahsiaan akan tetap dijaga setiap masa malah ejen calon juga masih berada dalam saluran tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan hari ini, Azhar mengumumkan pengenalan kamera video itu semasa hari pengundian PRK Parlimen Kimanis sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Menurut Azhar kamera itu akan dipasang di semua 68 saluran terlibat dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

Namun, susulan pengumuman itu, Pemuda UMNO Sabah dalam laporan media, membantah langkah SPR memasang kamera video itu kerana bimbang pemasangan kamera itu akan menakutkan pengundi untuk memilih calon masing-masing.

Mengulas lanjut, Azhar mempersoal tindakan pihak-pihak tertentu yang sering melihat sesuatu inisiatif baharu hanya daripada perspektif negatif.

Beliau berkata niat SPR dalam memperkenalkan inisiatif itu adalah bagi tujuan ketelusan dan bukan untuk menakut-nakutkan pengundi.

“(Rakaman video) ini juga membolehkan kita (menyemak) sekiranya ada tuduhan pengundi hantu, pengundi bertindih dan sebagainya. Kita boleh rujuk semula,” menurutnya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

– BERNAMA


Pengarang :