AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK Kimanis: Patuhi peraturan, etika kempen

KIMANIS, 3 JAN: Semua pihak diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang yang boleh mempengaruhi pengundi adalah salah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan sebarang tindakan atau pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihan secara bebas juga satu kesalahan di bawah akta sama.

Katanya ia termasuk tindakan atau pernyataan yang bertujuan atau cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum selain yang mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

“(Selain itu) tindakan mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi.

“Tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata SPR juga mengingatkan calon atau parti yang diwakili supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Segala arahan pihak berkuasa, terutama daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi,” menurutnya.

Sementara itu, Azhar berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata segala perbuatan membabitkan amalan rasuah harus dilapor kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

Beliau juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi.

“Ini termasuk melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :