AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK Kimanis: Pengundian bermula hari ini

KIMANIS, 18 JAN: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Parlimen Kimanis bermula pada 7.30 pagi ini dan dijangka berakhir 5 petang.

Kawasan pilihan raya kecil itu merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri – Bongawan dan Membakut – dengan seramai 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 68 saluran untuk mempercepatkan proses pengundian.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

PRK itu merupakan yang ke-10 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifahsebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

– BERNAMA


Pengarang :