Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK Kimanis: SPR letak kamera video di semua saluran

KIMANIS, 14 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini, sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata penggunaan kamera itu adalah untuk tujuan rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR menyemak semula proses pengundian dilaksanakan agar ia mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata kamera itu akan dipasang di semua 68 saluran terlibat dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

“Rakaman tersebut juga akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan rujukan untuk tujuan latihan dan penambahbaikan proses pilihan raya akan datang.

“SPR ingin memaklumkan bahawa dengan penggunaan kamera video di semua saluran, ia tidak akan sama sekali menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan kamera ini dipasang jauh dari petak undi dan kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :