ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program IWB berdaya wanita, lahir keluarga harmoni

SHAH ALAM, 30 JAN: Institut Wanita Berdaya (IWB) terus melaksanakan program bersifat pemberdayaan wanita dan keluarga dalam usaha melahirkan keluarga harmoni di Selangor, kata Pengerusinya.

Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya merancang Program Keluarga Harmoni pada tahun ini dengan tumpuan kepada pasangan suami isteri muda mengenai pengurusan kewangan, konflik dan komunikasi berkesan.

“Selain itu, IWB turut menjalankan Program Jaringan Muafakat yang menumpukan kumpulan sasar Orang Asli, Felda dan komuniti India,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas isu hampir 6.2 juta wanita di negara ini dikategorikan keluarga ‘sandwic’, beliau berkata kerajaan perlu mandang serius perkara itu dalam usaha memastikan kesejahteraan institusi keluarga serta kualiti generasi masa depan.

“Di peringkat IWB, kita merancang menjalankan kajian terperinci mengenai solusi dan dasar bersifat jangka panjang untuk tindakan Kerajaan Negeri,” kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati itu.

Keluarga ‘sandwic’ adalah istilah bagi wanita perlu menanggung anak sendiri di samping terpaksa menjaga ibu bapa iaitu dua atau tiga generasi duduk dalam satu rumah yang didapati menghadapi tekanan emosi dan mental teruk selain kemampuan kewangan terhad.


Pengarang :