AGENSISELANGOR

Pusat Kecemerlangan Kriket lahir atlet berbakat, gah akademik

SHAH ALAM, 25 JAN: Yayasan Selangor akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kriket bagi menempatkan atlet pelajar yang terpilih mengikuti program seterusnya mewakili Selangor bagi kategori sekolah menengah.

Yayasan dalam kenyataan berkata seramai 30 pelajar iaitu masing-masing 15 lelaki dan perempuan tersebut yang memenuhi kriteria ditetapkan Persatuan Kriket Malaysia dan yayasan itu akan menjalani sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad, Klang serta menginap di asrama miliknya di Klang.

“Pelaksanaan program ini bertujuan menjadikan Selangor sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan bakat atlet pelajar, di samping melahirkan golongan berketerampilan dan mempunyai jati diri tinggi.

“Selain itu, ia bagi mengenengahkan atlet pelajar seimbang daripada pelbagai aspek seperti rohani, intelek, kinestetik dan emosi serta mampu cemerlang dalam bidang akademik, sukan juga ko-kurikulum,” katanya.

Antara insentif akan diterima atlet pelajar daripada Yayasan Selangor merangkumi penempatan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program akademik dan pembangunan insan.

Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Pengarah Kanan Pendidikan mewakili Yayasan Selangor, Zahura Zakry; Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Mahinda Vallipuram; Setiausaha Kehormat Persatuan Kriket Selangor, Thavanesan Selvaratnam dan Pengetua SMK Sultan Abdul Samad, Siti Rahimah Tormodi di pejabat Persatuan Kriket Malaysia di Kinrara Oval, Puchong pada 23 Januari lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Ahmad Khodzali dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Noor Azli Abd Rahmad.


Pengarang :