ADNSELANGOR

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama dibuka waktu malam

SHAH ALAM, 3 JAN: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama kini dibuka pada waktu malam bagi memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan membuat urusan pada waktu siang.

Ahli Dewan Negerinya, Jamaliah Jamaluddin berkata, sesi “Malam Bertemu Penduduk” di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat itu mula dibuka malam ini (3 Januari) dari jam 8 hingga 10 malam pada Jumaat minggu pertama setiap bulan.

“Sesi itu sama seperti pertemuan biasa pada waktu siang namun kali ini kita turut menawarkan nasihat guaman percuma kepada individu yang memerlukan.

“Selain itu, kita turut mengadakan khidmat aduan berkaitan isu di DUN Bandar Utama dan orang ramai berpeluang mengemaskini maklumat program Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata, sesi itu adalah yang julung kali diadakan dan diharap orang ramai mengambil peluang yang diberikan itu sebaiknya.

“Sebelum ini kita tidak pernah melaksanakan sesi sebelah malam dan ramai dalam kalangan penduduk terlepas hadir ke pusat khidmat berikutan mereka kerja pada waktu pejabat.

“Justeru, untuk kali ini kita jadikan ia sebagai perintis dan jika diterima umum sesi seperti itu akan dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali,” katanya.


Pengarang :