EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim bergambar dengan tetamu pada sidang media Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Selangor di iCity Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Raja Muda Selangor dijadual hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 20 JAN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Sambutan Rumah Terbuka Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Selangor 2020 di Dataran Petaling Jaya pada 1 Februari ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sambutan yang menyasarkan kehadiran 12,000 pengunjung bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Rumah terbuka ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat,” katanya pada sidang media di pejabat Invest Selangor Berhad hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk, Hasan Azhari Idris.

Chang Khim berkata sambutan bermula 6.30 petang itu diisi dengan pelbagai program menarik seperti persembahan budaya, tarian singa, pemberian angpau kepada kanak-kanak bawah 12 tahun dan 28 gerai makanan yang disediakan Hijrah Selangor.

Sebanyak 20 bas percuma PJ City Bus akan beroperasi sehingga 12 tengah malam dengan kekerapaan antara 15 hingga 30 minit, selain penyediaan 3,709 petak parkir di tujuh lokasi untuk kemudahan pengunjung.


Pengarang :