Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah di peringkat tertinggi ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada 8 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakaman suara konspirasi jenayah babitkan Najib tulen

PUTRAJAYA, 8 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan rakaman audio berhubung kebocoran maklumat didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, dalam sidang media yang penuh sesak, mengenal pasti individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – daripada Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu.

Menyatakan SPRM boleh mengesahkan ketulenan sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit itu, yang berlaku antara 5 Januari dan 29 Julai, 2016, Latheefa berkata: “Kandungannya mengejutkan; ia menyembunyikan dan subversif keadilan …demi kepentingan awam, kami mendedahkan kepada umum kandungannya.”

Mendedahkan SPRM menerima rakaman audio itu baru-baru ini, pada tahun baharu, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata pejabatnya akan menyerahkan rakaman itu kepada pihak berkuasa relevan untuk memudahkan penyiasatan.

Selepas semua rakaman audio itu dimainkan pada sidang media itu yang disiarkan secara langsung di televisyen, Latheefa berkata rakaman itu telah menimbulkan beberapa isu.

“Terdapat beberapa isu serius yang timbul termasuk salah guna kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah,” tegasnya.

“Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya – Tan Sri Abu Kassim Mohamed,” katanya.

Abu Kassim ialah ketua pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku. Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.

Merujuk kepada rakaman audio itu, Latheefa berkata: “Apabila kami mendapatnya (rakaman audio), kami melakukan ujian forensik untuk mengenal pasti siapa mereka (individu), dan kami membuat siasatan sendiri dan jelas, berdasarkan pengetahuan yang kami ada …kami dengan mudah boleh mengenal pasti siapa mereka.”

Ditanya sama ada pendedahan rakaman itu akan menjejaskan kes mahkamah yang sedang berjalan yang melibatkan Najib, Latheefa berkata: “Saya tidak melihat bagaimana ia akan menjejaskan (perbicaraan).

“Bagi kami, ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara yang serius. Jadi saya tidak melihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi (dengan orang awam) dan memudaratkan kes-kes yang sedang berjalan.”

Katanya satu daripada rakaman audio itu mengandungi perbualan antara Najib dan Dzulkifli, panggilan telefon yang dijawab oleh Rosmah dan diserahkan kepada Najib.

“Perbualan itu berkisar tentang kertas siasatan. Jelas terdapat kebocoran maklumat daripada AGC kepada individu yang kami percaya adalah subjek penyiasatan,” katanya.

Rakaman audio yang lain mengandungi, antara lain, perbualan yang menyatakan kebimbangan dan keperluan menyelesaikan isu itu dengan cepat.

Dalam rakaman lain, menampilkan perbualan dalam suara meninggi antara lelaki dan wanita dikatakan sebagai Najib dan Rosmah.

Menurut Latheefa, apa yang dikatakan semasa perbualan itu mengandungi unsur-unsur rasuah dan apa yang mungkin merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang SPRM rasa lebih wajar untuk pihak polis menelitinya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Bernama, polis akan menjalankan penyiasatan sebaik sahaja menerima maklumat relevan daripada SPRM.

Najib yang menghadiri perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata semasa waktu rehat, bahawa beliau akan berbincang dengan peguamnya tentang pendedahan SPRM itu.

– BERNAMA


Pengarang :