Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakaman suara: Polis panggil Latheefa beri keterangan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Polis akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya untuk memberi keterangan berhubung rakaman perbualan didedahkan suruhanjaya itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya telah menerima kesemua sembilan set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu lain itu.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut berhubung kes berkenaan.

“Antaranya Seksyen 203A Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat selain Seksyen 218 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 8 Januari lepas, SPRM telah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

– BERNAMA


Pengarang :