Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah di peringkat tertinggi ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada 8 Januari 2020. Foto BERNAMA
NASIONAL

Rakaman suara skandal 1MDB: SPRM serah kepada polis

IPOH, 9 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan sebahagian rakaman audio berhubung kebocoran maklumat berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd kepada pihak polis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata rakaman audio didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain bagi peringkat pertama sebelum pihaknya akan menghantar rakaman yang selebihnya kepada pasukan beruniform itu.

“Kita telah memaklumkan polis dan menyerahkan rakaman audio untuk ‘first round’. Tunggulah polis buka kertas siasatan dan sebagainya. Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat,” katanya pada sidang media.

Beliau melakukan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini, sempena lawatan kerja yang pertamanya ke negeri ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Pada sidang media semasa pendedahan audio itu semalam, Latheefa berkata individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu dikenalpasti sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – dari Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu.

Sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit yang disahkan berlaku antara 5 Januari dengan 29 Julai 2016 itu diterima SPRM baru-baru ini.

-BERNAMA


Pengarang :