Sebuah restoran di Bandar Sunway diarah tutup selama dua minggu kerana mengabaikan kebersihan dalam operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 15 Januari. Foto MPSJ
PBTSELANGOR

Restoran ‘Gred D’ diarah tutup dua minggu

SHAH ALAM, 16 JAN: Sebuah restoran di Bandar Sunway diarah tutup selama 14 hari selepas didapati mengabaikan kebersihan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata tindakan dibuat di bawah Seksyen 62, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007.

“Premis itu yang mendapat Gred D ditutup kerana boleh menjejaskan kesihatan orang ramai,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Dalam operasi itu, MPSJ memeriksa 40 premis dengan 23 daripadanya ialah premis makanan dan runcit.

Hasil pemeriksaan, enam premis makanan diberikan Gred A, Gred B (sembilan), Gred C (dua) dan Gred D (dua) manakala empat premis runcit diberi Gred A dan dua lagi Gred B.

Azfarizal berkata enam premis diberikan notis pemberitahuan bangunan berkaitan pemasangan hud dapur tidak mengikut spesifikasi, manakala tiga lagi premis dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

Katanya, empat premis pula dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MPSJ) 2007 kerana tidak mempunyai lesen iklan.


Pengarang :