AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini susulan keyakinan bahawa perjanjian perdagangan interim antara AS dan China akan ditandatangani tidak lama lagi.

Penganalisis berkata perjanjian perdagangan antara dua kuasa ekonomi besar itu akan terus mendominasi pasara tukaran asing.

Ringgit didagangkan pada 4.0880/0930 berbanding dolar AS daripada 4.0890/0920 pada penutupan Selasa.

Dolar AS terus tertekan apabila pelabur menjangkakan prestasi tinggi ekonomi negara itu akan berakhir selari keyakinan ke atas kejayaan perjanjian perdagangan, yang sekali gus akan mencerahkan prospek pertumbuhan global.

“Isyarat positif perjanjian perdagangan mendorong dolar AS didagangkan lebih rendah sejak Disember 2019,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, berkata rangsangan oleh Bank Rakyat China (PBoC) juga meningkatkan hubungan perdagangan Malaysia dengan China.

Sokongan tambahan ini memihak kepada ringgit,” katanya.

Semalam, PBoC mengumumkan ia akan menurunkan Nisbah Keperluan Rizab bank itu sebanyak 50 mata asas, berkuat kuasa 6 Januari, untuk melepaskan RMB800 bilion kecairan wang asas, dan mengurangkan kos pembiayaan bank sebanyak RMB15 bilion setahun, yang akan membantu mengurangkan pembiayaan kos ekonomi sebenar.

Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nota tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0392/0438 daripada 3.0383/0415 pada penutupan Selasa, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7601/7658 daripada 3.7645/7683.

Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.4195/4265 daripada 5.3795/3855 dan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.5859/5932 daripada 4.5850/5888.

-BERNAMA


Pengarang :