AGENDAEKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan penurunan minat risiko dalam kalangan peniaga yang meragui tahap pengurangan tarif dalam fasa pertama perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 9.12 pagi, ringgit berada pada 4.0790/0820 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0730/0760 pada Selasa.

Public Investment Bank dalam nota penyelidikannya hari ini berkata menurut beberapa laporan, sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan AS-China yang dijangka dimeterai di Washington pada Rabu, China akan berjanji untuk membeli barangan AS bernilai US$200 bilion dalam empat industri bagi tempoh dua tahun sebagai pulangan bagi penurunan tarif AS.

Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata ringgit akan terus bergerak seiring dengan pergerakan Yuan, tetapi aliran masuk berkurangan berikutan ketidakpastian berhubung pelan hala tuju bagi fasa kedua perjanjian perdagangan AS-China.

“Bagaimanapun, China dijangka terpaksa menerima sebarang kelemahan dalam renminbi ketika ia bergerak ke arah perundingan fasa kedua, yang dijangka dapat mengehadkan sebarang kelemahan ringgit,” katanya.

Sementara itu ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu turun berbanding yen Jepun kepada 3.7099/7136 daripada 3.7021/7051 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0262/0300 daripada 3.0224/0251 pada Selasa.

Ringgit berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3096/3156 daripada 5.2831/2886 dan jatuh berbanding euro kepada 4.5399/5437 daripada 4.5332/5382.

-BERNAMA


Pengarang :