AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka sekitar 4.05-4.08 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.05 hingga 4.08 berbanding dolar AS pada minggu depan, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit diunjur seiring prestasi aliran pasaran serantau ketika mata wang Asia dijangka lemah berbanding dolar AS akibat kebimbangan membabitkan penularan wabak coronavirus.

“Selagi pihak berkuasa kesihatan global boleh menunjukkan bahawa penularan virus itu dapat dikawal, sentimen terhadap risiko itu dijangka bertahan dan menyokong aset-aset Asia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kalendar data ekonomi Malaysia yang terhad berikutan minggu dagangan singkat pada minggu depan akan hanya menyaksikan ringgit berkemungkinan terdedah kepada pengaruh luaran.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, ringgit banyak mendapat sokongan berbanding dolar AS pada minggu ini walaupun berdepan kejutan Bank Negara Malaysia mengumumkan pengurangan Kadar Dasar Semalaman pada Rabu.

“Pengurangan itu sudah pasti menandakan langkah positif untuk ekonomi,” katanya.

Bagaimamanapun, katanya, sentimen menolak risiko itu adalah ketara di pasaran yang bimbang penularan wabak itu akan meningkat ketika cuti sempena Tahun Baharu Cina.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit adalah rendah berbanding dolar AS pada 4.0590/0650 berbanding 4.0520/0560 pada Jumaat lepas.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan bercampur-campur dengan mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0024/0080 berbanding 3.0108/0149 pada minggu lepas dan naik berbanding euro kepada 4.4787/4869 daripada 4.5083/5139 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.7038/7103 daripada 3.6776/6816 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3140/3235 daripada 5.2895/2963.

-BERNAMA


Pengarang :