AGENDANASIONAL

Ringgit pada paras 4.0630 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh peningkatan keyakinan kalangan peniaga selepas Presiden Donald Trump bertindak memeterai persetujuan perdagangan fasa pertama dengan China yang sememangnya dinantikan ramai pihak.

Pada 9 pagi, ringgit berada di paras 4.0630/0670 berbanding dolar AS daripada 4.0740/0770 sewaktu ditutup pada Rabu.

Public Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata persetujuan perdagangan Washington-Beijing itu turut menandakan gencatan dari segi cukai import yang telah menyebabkan ketidaktentuan pasaran global selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes menyifatkan pencapaian persetujuan perdagangan tersebut sebagai satu langkah penting bagi menamatkan pertikaian yang telah mempengaruhi pertumbuhan ekonomi global.

“Margin itu sepatutnya menguntungkan bagi pasaran yang berisiko,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali pound Britain.

Ringgit mengukuh kepada 3.6957/7003 berbanding yen Jepun daripada 3.7073/7111 sebelum ini manakala berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.0179/0224 daripada 3.0232/0256 pada Rabu.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.2990/3046 daripada 5.2921/2968 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5315/5376 daripada 4.5335/5373, semalam.

– BERNAMA


Pengarang :