Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Sajak ditatang, pantun disisih?

OLEH JAYMANI SEVANATHAN

 

“Sebagai dunia yang menjadi adalah sebuah dunia yang lahir kembali. Itu sebabnya pantun, juga pantun percintaan yang telah berkali-kali ditulis di beberapa zaman, tak jadi usang.”

Goenawan Mohamad (2012)

 

PANTUN merupakan puisi tradisional yang usianya sangat panjang dan telah melalui pelbagai perubahan zaman. Namun, gejala kosmopolitan dan arus globalisasi kian menenggelamkan nilainya berikutan sebahagian kita bersikap acuh tak acuh terhadap warisan budaya turun-temurun.

Pun begitu, kita tidak sewajarnya menuding jari pada faktor kepesatan teknologi semata-mata. Kerana pantun Melayu tidak lenyap atau luntur ditelan kecanggihan zaman sahaja tetapi faktor genre lain terutama sajak yang terlalu dominan dalam kalangan penggiat seni khususnya golongan muda perlu diambil kira.

Anak muda masa kini dilihat memiliki “kegilaan” dan asyik benar dengan luahan sajak berbanding pantun. Sajak dilihat kena dengan trend kontemporari, ada unsur hipster dan bebas dinukilkan. Sajak dianggap mampu memaksimumkan aspek ekspresi dan mempunyai ruang kreativiti yang luas. Berbanding pantun, ekspresinya minimum, kandungannya padat dan singkat. Penceritaan yang panjang lebar tidak mungkin boleh dibawa.

Berkemungkinan besar juga anak muda berasa pantun agak membosankan dan tidak memenuhi cita rasa mereka sehinggakan pembacaan, diskusi mahupun penerbitan buku pantun kurang sangat kedengaran. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan jika sesetengah individu atau kelompok menganggap pantun hanya diguna pakai oleh masyarakat Melayu sahaja.

Anak muda kini sangat taasub dengan sajak yang dahulunya pernah dianggap sebagai “lembik” dan “jiwang”. Namun, kini selera telah berubah. Sajak makin berselerak di mana-mana. Sampaikan sebahagian penyair pula seakan-akan menjadi golongan elit artistik dengan sajak dijadikan sebagai hiburan. Mereka bebas memberontak dan mempersoal apa-apa pun melalui sajak – sesuatu yang sukar dilakukan menerusi pantun atas faktor ciri, bentuk hukum tertentu.

Anak muda juga gemar menterjemah segala ‘kesepian’ dan perihal hati melalui sajak penyair luar negara. Karya-karya Khalil Gibran, Chairil Anwar, Rupi Kaur, Sapardi Djoko Damono, W.S. Rendra antara bahan bacaan wajib golongan muda-mudi.

Ini menunjukkan sajak lebih diminati berbanding pantun. Apa tidaknya, sajak lebih banyak menerima reaksi, ulasan mahupun kritikan. Berbanding pantun, ulasannya jarang ditemukan, jauh sekali  dibawa ke gelanggang perbincangan. Sajak juga dianggap wadah membangkitkan kesedaran sosial sedangkan pantun – juga merangkumi falsafah dan pemikiran – dipandang biasa-biasa sahaja.

Memang diakui sajak lebih memberi imaginatif, banyak bentuknya dan boleh dibaca dengan variasi gaya. Sedikit sebanyak situasi itu mungkin mengakibatkan sebahagian masyarakat menjauhkan diri dari menghayati dan mendalami keunikan pantun. Kita biasa melihat permintaan tinggi terhadap manuskrip sajak tetapi terlalu kurang bagi pantun. Akibatnya, manuskrip pantun jarang didapati dalam pasaran – mungkinkah kali terakhir antologi Sekuntum Pantun & 99 Kelopak Cinta terbitan Obscura Malaysia pada 2012? Namun, semakan mendapati Dewan Bahasa dan Pustaka juga ada menerbitkan buku himpunan pantun.

Namun, antologi pantun tidak seheboh penerbitan buku sajak atau cerpen. Justeru, faktor permintaan dan kecenderungan terhadap pantun perlu direnung kembali. Ruang dan peluang penyiaran pantun dalam akhbar dan majalah tempatan pula terhad hingga terpaksa berebut-rebut. Atau, barangkali juga kiriman pantun mendapat sambutan dingin. Sedangkan teknik penulisan pantun merupakan permainan bahasa yang intelektual sifatnya. Disiplin dan pemikiran yang tajam agak signifikan dalam penghasilan pantun.

Tidak seperti sajak, penterjemahan pantun Melayu juga lesu dan kurang mendapat perhatian pencinta sastera tempatan. Namun, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menterjemah novel Malaisie karya Henri Fauconnier ke dalam bahasa Melayu yang diberi judul Nurani Tanah Melayu. Dalam novel itu, pantun Melayu menghiasi setiap bab kerana Fauconnier sangat meminatinya. William Marsden, seorang orientalis menterjemah lapan pantun Melayu dalam buku nahunya, A Grammar of the Malayan Language, with an Introduction and Praxis (1812). Kesukaran menterjemah dengan mengekalkan rima akhir a-b-a-b bukan penghalang kerana mereka masih boleh menterjemah dengan konteks makna yang sama.

Selain Marsden, John Leyden, John Crawfurd, Winstedt dan J. Pijnappel juga serius membicarakan pantun Melayu. Sekitar 1958, seorang peminat bahasa, Lou Wen Muk mengumpulkan dan menterjemah pantun kepada bahasa Cina yang diberi judul Pantun. Usaha pengintegrasian budaya cukup nyata dalam hal ini. Namun, usaha setakat itu sahaja tidak cukup jika kita ingin mengangkat darjat pantun dan bukan sekadar bahan picisan sahaja. Malah, dalam media sosial sekalipun, baik penulisan mahupun terjemahan sajak  sering meraih populariti tinggi.

Asakan kemajuan, budaya asing, gaya hidup, teknologi dan media sosial  juga mempengaruhi kejatuhan populariti pantun. John Leyden (1808) pernah mengatakan mengikut orang Melayu sendiri, pantun perlu dipakai dengan teliti iaitu antara baris sampiran sebuah pantun seharusnya mempunyai perkaitan, kiasan atau erti dengan baris maksud. Tetapi dalam media sosial, kita sering bertemu pantun yang hancur seperti “pen merah pen biru, you marah I love you.” Contoh lain, “kerepek pisang kerebek ubi, when can I call you my baby?” Masyarakat pula seronok menggunakan pantun yang “diperkosa”. Akibatnya, musnah segala dandanan citra, baris dan makna serta keindahan bahasa Melayu.

Sebenarnya, kitalah yang menentukan sama ada artifak budaya hanya diingat sebagai penyeri majlis atau melangkaui tahap itu. Jangan pula sampai haiku Jepun ditatang dan pantun Melayu ditendang. Tiada gunanya pantun disanjung tinggi oleh intelektual Barat tetapi kita – anak Malaysia – masih ragu-ragu dengan nilai sastera sendiri.


Pengarang :