Kakitangan Kementerian Kesihatan memantau saringan suhu badan yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Satu lagi kes positif koronavirus dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Satu lagi kes positif koronavirus 2019 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada lapan, setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata kesemua lapan kes terdiri daripada warganegara China dengan kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 49 tahun.

“Kes kelapan ini adalah warganegara China berusia 49 tahun yang dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

“Mereka yang dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan alat penilaian di rumah. Sekiranya mereka menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk kepada fasiliti kesihatan yang dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

Semalam, Bernama melaporkan Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin mengesahkan 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan koronavirus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media semalam, berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

-BERNAMA


Pengarang :