Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyempurnakan Majlis Syarahan dan Peluncuran Buku Terjemahan Karya Prof. Dr. Sheikh Ahmad Al-Raysuni di Universiti Selangor, Shah Alam pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selami maqasid syariah hadapi cabaran masyarakat majmuk

SHAH ALAM, 2 JAN: Pengertian maqasid syariah perlu diperincikan supaya selari dengan pembangunan semasa terutama dalam mendepani cabaran membabitkan masyarakat majmuk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, perkara yang dibangkitkan Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmad Al-Raysuni sangat penting kerana prinsip itu merupakan perkara teras dan asas yang ingin dicapai selain turut memberikan impak besar dalam kehidupan manusia.

“Antara prinsip penting digariskan Islam dan disebut berkali-kali dalam al-Quran termasuklah mewujudkan keadilan, mewujudkan keamanan, menjauhi kezaliman, melakukan islah (perubahan ke arah kebaikan) dan menjaga lima perkara utama iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Syarahan dan Peluncuran Buku Terjemahan Karya Prof. Dr. Sheikh Ahmad Al-Raysuni di Universiti Selangor, Shah Alam pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Syarahan Bersama Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmad Al-Raysuni bertajuk ‘Prinsip Universal Shari‘ah: Aplikasinya dalam Fiqh semasa’ di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, malam ini.

Katanya, semua prinsip itu bukan sahaja perlu dilaksanakan manusia secara individu, tetapi turut perlu diterapkan oleh pemerintah dalam pembentukan polisi supaya pentadbiran yang dilakukan sejajar dengan maqasid syariah.

“Dalam konteks masyarakat majmuk yang kita alami pada hari ini, kita tidak dapat lari daripada kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan bangsa yang terdapat dalam masyarakat.

“Selain itu, perbezaan ideologi dan pemikiran juga menambah kerencaman dalam kepelbagaian ini.

“Bagi menjamin kesejahteraan dan keamanan bersama, nilai bersama atau titik persamaan antara setiap anggota masyarakat perlu dicari agar boleh menjadi kunci kepada kehidupan bersama,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyempurnakan peluncuran empat buah buku terjemahan karya Sheikh Prof Dr Ahmad Raysuni terbitan Institut Darul Ehsan (IDE) iaitu Syura dan Demokrasi; Kuasa Rakyat; Kebebasan dan Pembebasan serta Prinsip Dan Kaedah Universal Dalam Syariah.


Pengarang :