SELANGORSUKANKINI

Selangor Asia Challenge medan uji pemain baharu Gergasi Merah

SHAH ALAM, 9 JAN: Khidmat pemain baharu bakal digunakan sebagai strategi mengukuhkan pertahanan The Red Giants dalam Kejohanan Asia Challenge (SAC) 2020 bagi menentang kelab dari rantau Asia Tenggara pada 18 dan 19 Januari ini.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata beliau mahu menilai tahap kemampuan pemain berbanding musim lalu, terutama selepas skuad kendaliannya diperkuatkan dengan pemain baharu.

Enggan menggunakan pemain sama dalam tempoh 48 jam, katanya, beliau lebih mementingkan perlawanan pembukaan liga pada hujung Februari ini.

“Pasukan dijemput adalah kuat seperti Persib Bandung (Indonesia), mereka baharu menamatkan liga dan bermain dengan pasukan yang masih lagi dalam musim sukar kerana mereka sedang bermain di tahap tertinggi.

“Memandangkan SAC adalah kejohanan pra musim, ia adalah bonus jika kita mampu menjadi juara, malah kita mahu menyediakan pemain ke arah persaingan dan memastikan mereka cukup cergas,” katanya.

Sathianathan berkata Selangor berada pada tahap terbaik musim ini dengan kewujudan fasiliti latihan, masa persediaan panjang selain kehadiran pemain baharu yang mempunyai aura positif.

“Kita mempunyai karakter seperti Brendan Gan, dia adalah contoh terbaik kepada pemain muda, Taylor (Regan) sebagai ketua dan Swirad yang sangat berdisiplin.

“Semua pemain senior sudah mula kembali dari cuti panjang untuk menjalani latihan dengan giat bersama pihak kejurulatihan demi memastikan mereka cukup bersedia untuk kejohanan ini,” katanya.

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Untuk menambahkan kemeriahan perlawanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai RM41,353.81 (USD10,000) dan naib juara membawa pulang RM20,676.91 (USD5,000) selain piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor.


Pengarang :