AGENSISELANGOR

Selangor catat 2,828 kes denggi dalam 10 hari

SHAH ALAM, 9 JAN: Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi dalam tempoh 10 hari sehingga semalam, lebih separuh daripada keseluruhan kes di seluruh negara.

Merekodkan 2,828 berbanding 4,642 kes sejak 29 Disember tahun lalu, angka itu menunjukkan Selangor mengatasi negeri lain.

Semalam, Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan memaklumkan 303 kes berlaku di negeri itu iaitu ketiga tertinggi selepas Johor (346) dan Kuala Lumpur (326).

Negeri lain pula, Kelantan dengan 255 kes, Sabah (240), Perak (143), Sarawak (128), Pahang (115), Melaka (77), Negeri Sembilan (64), Pulau Pinang (61), Kedah (32), Putrajaya (15) Perlis (enam), Terengganu (lima) dan Labuan (satu).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai diingatkan mengambil langkah pencegahan dan kawalan supaya aliran pertambahan kes denggi dapat dibendung.

Katanya, masyarakat perlu memastikan persekitaran kediaman masing-masing bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes memandangkan tindakan pencegahan daripada individu dapat membantu mengurangkan populasi Aedes sebagai penyebar virus denggi.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk terutamanya apabila melawat kawasan wabak sama ada dengan menggunakan bahan penghalau nyamuk (repellen) kepada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk atau mengenakan pakaian yang menutup anggota badan.


Pengarang :