Rodziah Ismail merasmikan Program Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Business Outreach 2020 di Ideal Convention Centre (IDCC Shah Alam) pada 23 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor fokus bangunkan industri kraftangan, kosmetik

SHAH ALAM, 23 JAN: Selangor memfokuskan industri kraftangan dan kosmetik tahun ini selari perkembangan dan permintaan global terhadap produk berkenaan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata sesi pendengaran awam membabitkan pemegang taruh dijangka diadakan Mac ini bagi membincangkan usaha yang lebih komprehensif.

“Setiap tahun kita memfokuskan bidang pembuatan makanan dan minuman, jadi kenapa tidak dua industri ini diutamakan tahun ini. Saya mahu penggiat bidang ini seiring kepesatan perniagaan lain.

“Selain unik, kreatif dan asli, produk kraftangan yang terdapat di negeri ini juga kontemporari mengikut aliran semasa sesuai dibangunkan sempena Tahun Melawat Malaysia dan Selangor.

“Begitu juga kosmetik, ada permintaan dari luar negara untuk kita kembangkan produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi,” katanya ketika ditemui media pada Program Jangkauan Perniagaan 2020 di IDCC di sini hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata Majlis Perundingan Usahawan yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditubuhkan untuk merangka pelan pembangunan (Blue Print) keusahawanan membabitkan semua sektor.

Katanya, majlis itu akan merangka program pengurusan kewangan, digital dan pemasaran serta teknologi baharu selain mensasarkan penubuhan perbadanan usahawan Selangor.


Pengarang :