Pegawai Penguat kuasa Kesihatan mengeluarkan notis kesalahan kepada perokok yang didapati merokok di kawasan larangan merokok di sebuah restoran di Meru Raya, Ipoh pada 2 Januari 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Selangor keluarkan 247 notis kompaun perokok dalam 96 jam

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengeluarkan 247 notis kesalahan bernilai RM51,200 terhadap perokok dalam tempoh 96 jam pelaksanaan Operasi Larangan Merokok di premis makanan sejak Rabu lalu.

Pengarahnya, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, penguatkuasaan melalui operasi itu dijalankan di 1,091 premis seluruh Selangor.

Katanya, lapan notis kesalahan membabitkan Orang Belum Dewasa dengan salah seorang daripadanya didapati bersalah memiliki rokok elektronik.

“Selain itu, 52 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM13,000 dikeluarkan kepada pemilik premis atas 47 kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Manakala, lima notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, penguatkuasaan serentak di seluruh negeri itu membabitkan 344 pegawai diberi kuasa melalui peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Beliau berkata, mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250, manakala bagi Orang Belum Dewasa RM50.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan, sebaliknya kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun.

“Malah, tiada lagi tawaran kompaun mulai Julai, sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil,” katanya.

Dr Sha’ari berharap semua pihak dapat bekerjasama mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

“Bagi perokok yang berhasrat berhenti merokok, mereka dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit disediakan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan seluruh negara atau mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang diberikan akreditasi.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat dan daftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut,” katanya.


Pengarang :