Memakai topeng sebagai salah satu langkah pencegahan terhadap wabak paru-paru atau dikenali sebagai ‘novel coronavirus’ yang berasal dari Wuhan, China dan telah menular antara manusia ke manusia di beberapa buah negara. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor pantau koronavirus, sedia kerjasama dengan KKM

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor memantau keadaan semasa berhubung kes penularan jangkitan koronavirus seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Twitter berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan KKM sekiranya terdapat tindakan yang akan diambil bagi mencegah penularan virus terbabit.

Sehingga kini, empat individu disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain Malaysia, satu kes juga telah dilaporkan di Australia semalam, manakala Perancis mengesahkan tiga kes koronavirus pada Jumaat, yang menandakan penyakit itu kini telah sampai ke eropah.

Singapura dan Amerika Syarikat telah mencatatkan kes koronavirus lebih awal.

Kesemua yang dijangkit itu merupakan warganegara China ataupun mereka yang telah ke kawasan dijangkiti di China, baru-baru ini.


Pengarang :