Datuk Abdul Rashid Asari
EXCOSELANGOR

Selangor sasar lapan juta pelancong tahun ini

SUBANG, 1 JAN: Kerajaan Selangor menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong ke negeri ini pada 2020, berbanding 7.7 juta tahun lalu.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata kepelbagaian produk pelancongan di Selangor diyakini mampu menarik minat pelancong asing dan tempatan.

“Oleh itu, kita berharap tahun ini lapan juta pelancong berkunjung ke Selangor yang menawarkan pelbagai produk pelancongan eko, agro, perubatan, pendidikan dan sukan.

“Antara lokasi unik yang boleh dikunjungi ialah Sky Mirror, Taman Kelip-Kelip dan Selangor Fruit Valley di Kuala Selangor.

“Selangor turut menawarkan kepelbagaian pusat perubatan dan paling membanggakan apabila salah sebuah hospital di Subang Jaya menerima anugerah di peringkat Asia Pasifik,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Selamat Datang Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 Peringkat Selangor di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal Subang Sky Park di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata Selangor ketika ini menjadi negeri ketiga pilihan pelancong di Malaysia, sementara tempat pertama dan kedua adalah Sabah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, katanya sebanyak RM9.7 juta diperuntuk tahun ini bagi tujuan promosi untuk meningkatkan prestasi sektor pelancongan di Selangor.

“Pada 2018, Kerajaan Negeri menerima RM20.6 juta cukai pelancongan dan sebahagian daripada hasil pendapatan ini digunakan untuk tujuan promosi,” katanya.


Pengarang :