Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada sidang media khas di Lobi Blok E8 Kompleks E Kementerian Pendidikan Malaysia Putrajaya pada 2 Januari 2020. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Selepas umum kemajuan, Maszlee letak jawatan

OLEH YASMIN AHMAD ZUKIMAN

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Baru dua hari memasuki tahun 2020, Dr Maszlee Malik hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa Jumaat, 3 Januari.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu antara terawal dilantik sebagai anggota Kabinet kerajaan baharu Pakatan Harapan (PAKATAN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Dilahirkan di Johor Bahru, Maszlee, 45, merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum menyertai arena politik.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu turut menyumbang kepada beberapa badan pemikir dan sering menjadi ahli panel atau moderator bagi forum yang membincangkan isu-isu berkaitan politik Islam dan politik Asia Barat.

Maszlee memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya, kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs di Universiti Durham, United Kingdom pada 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang “Good Governance” pada 2011.

Sejak memegang jawatan Menteri Pendidikan, Maszlee telah berusaha memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam sistem pendidikan yang mencetuskan reaksi dan polemik yang pelbagai. Ada yang mengganggapnya remeh dan ada pula yang merasakan ia tidak kena pada tempatnya.

Bermula dengan isu pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi murid sekolah rendah dan menengah, Maszlee tidak sunyi daripada kritikan daripada mereka yang menaruh harapan tinggi untuk melihat pembaharuan dalam sektor pendidikan negara.

Paling hangat ialah pengenalan pengajaran tulisan Jawi dan khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang menerima bantahan ibu bapa serta kumpulan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Kabinet menetapkan supaya tulisan Jawi dikekalkan dengan nama ‘pengenalan tulisan Jawi’ dan bukannya khat dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja, kepada murid Tahun 4 mulai 2020, murid Tahun 5 pada 2021 dan murid Tahun 6 pada 2022 di Sekolah Jenis Kebangsaan.

Langkah itu tetap tidak popular dengan Dong Zong mahu menganjurkan persidangan isu tulisan Jawi itu dan telah dibantah sekeras-kerasnya oleh pelbagai NGO Melayu yang sebaliknya mahukan Dong Zong diharamkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dipimpin Maszlee itu turut menjadi perhatian dalam menunaikan janji manifesto kerajaan PAKATAN khasnya berhubung isu pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Sekolah Menengah Cina Persendirian.

Walaupun penyelesaian isu PTPTN menunjukkan kemajuan, penyelesaian isu UEC menemui jalan buntu dan terus menjadi bahan laga politik.

Selain itu, di bawah Maszlee, KPM turut melakukan perubahan dalam sukatan pelajaran dengan memansuhkan aliran sains dan sastera di Tingkatan 4 mulai tahun ini bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan kebangsaan dan menyediakan pelajar yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Langkah yang menerima reaksi yang bercampur itu selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang dilakukan secara berperingkat melibatkan murid Tingkatan Satu pada 2017 dengan kohort pertama berada di Tingkatan 4 pada 2020.

Bagaimanapun, Maszlee perlu juga diberi pengiktirafan di atas beberapa pencapaian KPM di bawah kepimpinannya.

Maszlee tegas dalam melarang pengedaran komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama di sekolah-sekolah yang didakwa propaganda Komunis walaupun menerima kritikan daripada mereka yang beranggapan ia tidak membawa ancaman.

Pada 13 Disember lepas, KPM menjadi yang pertama membentangkan ‘kad laporan’ pencapaian kementerian bagi tahun 2019 dengan lima fokus perubahan yang terkandung di dalamnya 53 inisiatif pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.

Maszlee ketika membentangkan pencapaian itu dilapor berkata, tahun 2019 adalah permulaan kepada semua perubahan untuk memastikan negara boleh bergerak ke arah sistem pendidikan inklusif dan berkualiti tinggi.

Lima fokus itu adalah ‘Mengembalikan Cinta ke Dalam Pendidikan; Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran; Autonomi dan Akauntabiliti; Malaysia Membaca; dan Manifesto.

Dalam kad laporan pencapaian setebal 40 muka surat itu, Maszlee memperincikan butiran pencapaian yang menyentuh segenap aspek pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan negara merangkumi pelajar, guru, infrastruktur, reformasi sistem, reformasi digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengajian tinggi dan siswazah, serta menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.

Desas-desus yang Maszlee akan meletakan jawatan timbul tengah hari ini dan dalam sidang media khas di Putrajaya pada petang tadi beliau mengesahkan akan berundur daripada jawatannya itu berkuat kuasa esok atas nasihat “ayahanda Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad”.

– BERNAMA


Pengarang :