Selangorkini
Bekas pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Shahrir didakwa gagal isytihar RM1 juta kepada LHDN

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Bekas pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Shahrir, 71, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Shahrir dituduh melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Nik Haslini Hashim manakala Shahrir diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin dan Fahmi Abd Moin.

-BERNAMA


Pengarang :