Seorang pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berwajib meningkatkan pemeriksaan terhadap koronavirus. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Singapura sahkan kes kelima koronavirus

SINGAPURA, 28 JAN: Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan kes import kelima jangkitan novel Koronavirus di negara itu.

Dalam kenyataan terkini, kementerian berkenaan berkata kes terbaharu itu melibatkan seorang wanita warga China berumur 56 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 18 Januari.

Beliau sedang dirawat di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID) dan keadaannya stabil, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut Kementerian itu berdasarkan laporan, wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom semasa dalam penerbangan ke Singapura.

Beliau hanya menunjukkan simptom pada 24 Januari dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Tan Tock Seng pada 26 Januari.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata wanita itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes suspek dan terus diasingkan di NCID, dan keputusan ujian berikutnya mengesahkan jangkitan koronavirus Wuhan pada 27 Januari.

Kementerian itu berkata wanita berkenaan didapati tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan lain-lain kes jangkitan import yang disahkan sebelum ini.

Sebelum dimasukkan ke hospital, kementerian itu berkata wanita berkenaan tinggal bersama dengan keluarganya di Ceylon Road.

Sejak menunjukkan simptom pada 24 Januari wanita itu dikatakan tinggal di dalam rumahnya sahaja sehingga dia dibawa ke hospital dua hari kemudian.

Kementerian itu berkata pihaknya telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan sedang berusaha mengesan individu yang mempunyai kontak dengan wanita berkenaan.

Sehingga pukul 12 tengah hari 27 Januari, 62 kes suspek disahkan negatif bagi koronavirus Wuhan, dan empat disahkan positif, manakala kes kelima disahkan pada kira-kira pukul 2 petang.

Keputusan ujian bagi 57 kes lagi masih belum diperoleh.

Pengesanan kontak bagi kes-kes yang disahkan sedang berlangsung dan sebaik sahaja dikenal pasti, Kementerian Kesihatan Singapura akan memantau dangan rapi semua pihak yang mempunyai kontak dengan mereka.

Kementerian itu turut mengenal pasti 115 kontak yang mempunyai hubungan rapat dengan empat kes yang telah disahkan sebelum ini.

Daripada 86 orang yang masih berada di Singapura, 75 telah dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan, manakala usaha menghubungi 11 kontak lagi masih terus berjalan.

-BERNAMA


Pengarang :