Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (dua, kiri) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan (dua, kanan) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Malaysia Musim 2020 di Hotel Acapella Seksyen 13 pada 15 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sistem Kawalan Ekonomi mula dilaksana dalam Liga M musim ini

SHAH ALAM, 16 JAN: Sistem Kawalan Ekonomi (ECP) akan mula dilaksana secara berperingkat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, kata Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata pelaksanaan sistem itu disifatkan sebagai langkah tepat untuk sesebuah pasukan menguruskan kewangan masing-masing.

“Kita telah memaklumkan kepada semua pasukan (mengenai ECP) melalui seminar atau surat yang mana sistem itu akan dilaksanakan bermula tahun ini secara berperingkat sebelum melaksanakan secara penuh tahun hadapan.

“Namun, kita juga perlu memberitahu semua kelab bahawa ECP ini adalah baik terutamanya melibatkan aspek perbelanjaan pasukan. Saya lihat ia (pemahaman mengenai ECP) bermula dengan baik apabila pasukan telah mula mengemukakan bajet masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Liga-M musim 2020, di sini semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Bagaimanapun kata Hamidin, keberkesanan sistem ECP itu akan dapat dilihat selepas dua atau tiga tahun ia dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak bercadang untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga-M musim ini.

“Dalam keadaan sekarang, saya rasa tidak mungkin kami akan menggunakan teknologi VAR kerana antara faktornya berkaitan perbelanjaan. Namun, apabila kami sampai pada tahap berbeza, mungkin kami akan mempertimbangkan penggunaan teknologi itu,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, sebanyak 24 pasukan Liga Super dan Liga Premier diumumkan bakal berentap merebut kejuaraan perlawanan bola sepak terunggul negara sebaik saingan Liga-M 2020 dilancarkan hari ini.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan bermula pada 28 Februari ini dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di antara pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

– BERNAMA


Pengarang :