AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SKMM: Jangan terjerat dengan berita palsu

SHAH ALAM, 31 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak menyebarkan atau terjerat dengan provokasi berita palsu di media sosial, kata ketua pegawai pematuhannya.

Zulkarnain Mohd Yasin berkata ramai yang terperangkap selepas meninggalkan komen menyalahi undang-undang selain menyebarkan atau berkongsi maklumat tidak benar, lapor Sinar Harian.

“Berita palsu itu sebenarnya berniat jahat bagi menimbulkan rasa marah, benci dan tidak percaya kepada sesuatu pihak atau individu. Sebab itu jika soalan yang diajukan melalui sebaran, adakah ia benar-benar persoalan?

“Ia juga provokasi supaya ada maklum balas daripada netizen untuk membalas atau meninggalkan komen. Apabila berbalas komen dalam keadaan marah, kita akan menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya dan menokok tambah perkara tidak benar,” katanya.

Zulkarnain berkata berita palsu disebar untuk mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang berdasarkan jumlah pengguna media sosial membaca atau menontonnya.

Katanya, mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia.


Pengarang :