Lelaki berusia 48 tahun yang direman tujuh hari sebelum ini, disambung reman lagi lima hari bagi membantu siasatan kes penjualan organ manusia.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SKMM tahan individu sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu berhubung wabak koronavirus 2019.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, suspek berusia 34 tahun ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di Facebook pada 26 Januari lalu.

“Kandungan mengenai koronavirus didapati palsu. Turut dirampas telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu di Facebook terbabit.

“SKMM dan PDRM mengambil serius perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan. Tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” tegas suruhanjaya itu.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua­duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

“Tindakan tegas ini salah satu usaha SKMM dan PDRM mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai koronavirus oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” menurut SKMM.

Pada 27 Januari lalu, SKMM dan PDRM memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan kandungan khabar angin atau berita tidak sahih mengenai koronavirus di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :