Ng Sze Han (tengah) ketika merasmikan Team Pantau (Skuad Pantau Bersih Sepang) dan Sistem Perfect Clean on Monitoring (pCOM) di Sepang hari ini. Foto MPSepang
EXCOSELANGOR

Skuad Pantau Bersih Sepang sasar capai kawasan sifar sampah

SHAH ALAM, 10 JAN: Penubuhan Team Pantau (Skuad Pantau Bersih Sepang) mampu meningkatkan tahap kebersihan di daerah itu bagi mencapai kawasan sifar sampah, kata Exco Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata pemantauan perbandaran sempurna, pengurusan bersepadu dan sistematik sekali gus mengurangkan dampak negatif terhadap alam sekitar.

“Isu kebersihan amat penting untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat seperti denggi, banjir kilat dan sampah.

“Selangor perlu ke hadapan dalam mengurus pembersihan awam dan sisa pepejal menggunakan pelbagai kaedah serta penggunaan teknologi baru,” katanya pada majlis pelancaran skuad berkenaan dan Sistem Pemantauan Kebersihan (pCOM) di Sepang hari ini.

Sementara itu, Sze Han berkata pCOM yang juga sistem pertama di Selangor akan memantau prestasi kebersihan ke atas perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd.

Justeru, katanya inisiatif Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk menyelesaikan isu pembersihan awam perlu dipuji bagi membina masyarakat prihatin serta bertanggungjawab.

“Sasaran utamanya untuk memperkasakan perkhidmatan kepada orang ramai serta mendekati masyarakat melalui jalinan mesra supaya menyokong aspirasi MPSepang dan memberikan komitmen terhadap budaya penjagaan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :