AGENDANASIONAL

SPRM komited tingkat usaha perangi rasuah

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi jaminan akan meningkatkan usaha untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mengenai Malaysia yang dikeluarkan Transparency International (TI) sangat memberangsangkan.

TI menyatakan Malaysia telah memperbaiki kedudukannya dengan melonjak 10 anak tangga untuk menduduki tempat ke 51 pada CPI bagi tahun 2019.

Latheefa berkata SPRM berbesar hati kerana negara ini bergerak ke arah yang betul.

“Kami sebenarnya telah memulakan langkah-langkah inovatif bagi menangani perkara ini dan akan terus berusaha untuk ketelusan yang lebih hebat, memperbanyak penyertaan daripada pemegang taruh dan memperkukuh mekanisme pengurusan perlindungan pemberi maklumat.

“Kami juga menggesa semua badan pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan unit integriti dan tadbir urusnya,” kata Latheefa dalam kenyataan.

Hari ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan mengumumkan Malaysia melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi CPI TI untuk tahun 2019.

Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata kedudukan Malaysia yang naik 10 anak tangga dari kedudukan 61 pada tahun 2018 daripada 180 buah negara itu merupakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.

Beliau berkata usaha kerajaan dan semua pihak termasuk Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dilancarkan pada tahun lepas memberikan kesan positif dan menjelaskan bahawa masyarakat kini mempunyai kesedaran bahawa aktiviti rasuah merupakan musuh utama negara yang boleh merencatkan perkembangan dan ketamadunan sesebuah negara.

“Strategi yang dilakukan kerajaan dan pihak-pihak berkaitan dalam memperkenalkan pelbagai strategi termasuk NACP ini menampakkan hasilnya.

“Selain itu, penglibatan SPRM, kempen-kempen badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta juga memainkan peranan penting seperti menekankan urus tadbir baik dan menjalankan ketelusan dalam setiap urusan harian menjadikan Malaysia bebas rasuah,” katanya kepada Bernama.

Timbalan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Dr Rozaidi Abdul Rahim Razali berkata peningkatan nilai CPI Malaysia pada 2019 adalah disebabkan perubahan dalam kerajaan dan komitmen kerajaan baharu dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata ini termasuk tindakan pantas kerajaan menangani kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Felda serta penangkapan beberapa tokoh politik berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

-BERNAMA


Pengarang :