Selangor akan memasang 1,553 struktur rangkaian 5G bagi fasa dua di lima daerah pada tahun ini bagi memberi perkhidmatan kelajuan jalur lebar 10 gigabit per saat (gbs). Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syarikat telekomunikasi ganding bahu jayakan 5G

LANGKAWI, 21 JAN: Syarikat telekomunikasi Malaysia meningkatkan usaha, pelaburan dan kerjasama untuk menyokong pelancaran 5G di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Bhd (TM) Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata syarikat itu sudah bersedia untuk membantu negara melaksanakan 5G.

TM katanya memiliki liputan gentian paling menyeluruh di seluruh negara untuk berfungsi sebagai tulang belakang yang perlu bagi rangkaian 5G.

“5G tanpa gentian adalah sukar. Jadi kami percaya kami semakin mantap dalam 5G dan kami mahu membantu negara meningkatkan kesalinghubungan juga dikawasan yang tidak dihubungkan dengan gentian,” katanya pada sesi panel bertajuk “Fireside Chat 2: Paving the Way for 5G in Malaysia” pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Bhd Gokhan Ogut berkata syarikat tersebut mahu membawa teknologi 5G ke Malaysia supaya tidak ketinggalan dalam persaingan teknologi masa depan.

Susulan itu, Maxis melancarkan ujian percubaan 5G sejak dua tahun lalu dan berharap dapat melancarkan secara rasmi rangkaian generasi seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd Mohamad Idham Nawawi berkata industri itu akan terus melabur dalam rangkaian tersebut bagi memastikan ekosistem yang mampan.

Beliau berkata kerjasama antara pemain industri juga penting bagi menyokong pelaksanaan 5G.

Sementara itu, Digi Telecommunications Sdn Bhd menumpukan kepada sektor kesihatan dan pelancongan dengan keupayaan 5G.

“Ia boleh digunakan bagi banyak perkara tetapi apa yang lebih penting, kami melakukanya secara kerjasama dengan yang lain-lain,” kata ketua pegawai eksekutifnya Albern Murty.

-BERNAMA


Pengarang :