EXCOSELANGOR

Sze Han buat laporan polis difitnah isu air zam zam

SHAH ALAM, 6 JAN: EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han membuat laporan polis hari ini susulan satu hantaran di Facebook yang didakwa memfitnah dirinya berhubung isu larangan menjual air zam zam.

Sze Han berkata, tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit membuat hantaran di media sosial boleh menjatuhkan maruah beliau sebagai ahli mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Sejak kebelakangan ini, negara kita dihantui kerja fitnah oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Apakah motif mereka sebenarnya?.

“Oleh sebab itu, saya buat laporan polis dan akan mengemukakan juga aduan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Januari lalu, sebuah portal berita memuat naik artikel ‘Arak Lebih Suci Dari Air Zam Zam’ yang mengaitkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dengan berita ‘Denda, penjara jika jual air Zam Zam’, sementara Sze Han dengan berita ‘Tiada larangan minum arak di tempat awam’.

Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata, portal terbabit telah menyalah guna gambar dan berita terbabit tanpa kebenaran serta usul periksa.

“Dua artikel ini disiarkan pada tarikh yang berbeza, saya menggesa sekiranya orang ramai menerima laporan sebegini, selidik terlebih dahulu kebenarannya sebelum menyebarkan,” katanya.


Pengarang :