Sebahagian pelancong yang dipercayai rakyat dari China menggunakan topeng penutup mulut dan hidung bagi mencegah jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tangguh perjalanan ke China, tingkat amalan kebersihan

SHAH ALAM, 27 JAN: Orang awam dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke China dan mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi bagi mengelakkan jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata masyarakat turut digesa mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya jatuh sakit dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China.

“Maklumkan juga sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat. Semua pengamal perubatan, sama ada dari fasiliti kerajaan atau swasta hendaklah segera melaporkan kes yang disyaki 2019-nCoV menggunakan kaedah pelaporan sedia ada kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 hari ini.

Antara gejala wabak adalah jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, kesukaran untuk bernafas yang boleh mengakibatkan Pneumonia atau radang paru-paru jika tidak mendapat rawatan segera.

Dr Dzulkefly berkata, KKM akan terus memantau perkembangan 2019-nCoV melalui maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan memaklumkannya kepada orang awam, di samping meneruskan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya.


Pengarang :