Sumber Foto: Jabatan Warisan Negara
NASIONAL

Tapak peleburan besi purba ditemukan di Kedah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Jabatan Warisan Negara (JWN) menemui satu tapak relau peleburan besi purba di Kampung Padang Chicak, Jeneri, Sik, Kedah berhampiran Sungai Muda hasil ekskavasi arkeologi yang mula dijalankan sejak 3 Januari lepas.

JWN dalam satu kenyataan berkata penemuan relau peleburan besi dengan ukuran diameter 496 sentimeter (cm) dan 108cm tinggi itu turut menemukan bekas air yang mempunyai ukuran diameter 309cm dan 47cm tinggi.

“Penemuan ini sangat penting kerana ciri-ciri arkeologinya sangat tinggi dalam usaha melengkapkan bukti aktiviti peleburan besi purba di sepanjang Sungai Muda.

” … jumpaan sebegini amat bernilai tinggi terhadap data arkeologi negara dan wajar dipelihara sebagai antara sumber ilmu dalam memahami ketamadunan masyarakat lampau di negara ini, dan seterusnya menjana fakta baharu pensejarahan negara,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu artifak seperti pecahan tembikar, alatan batu dan sisa pembakaran yang turut dijumpai bersama mengukuhkan bukti bahawa penemuan itu berfungsi sebagai relau untuk melebur bahan besi.

JWN turut bercadang menjadikan relau peleburan itu sebagai antara tarikan utama pameran di Galeri Warisan Arkeologi yang akan dibina di Tapak Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Kedah setelah kajian sistematik dan terperinci selesai dilaksanakan, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha pemeliharaan dan penyelidikan berterusan di tapak arkeologi sepanjang Sungai Muda turut dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia selaku penyelidik sah yang dilesenkan di bawah Seksyen 86, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005).

JWN juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah, Polis, dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memastikan aspek keselamatan tapak agar ia tidak rosak dan diganggu.

“JWN turut memohon kepada orang ramai agar mematuhi perundangan AWK 2005 (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah yang dijumpai di sekitar Sungai Muda kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :