Selangorkini
AGENDA SELANGOR

Tarif air: Belum muktamad, tunggu maklum balas persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Proses perbincangan dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan masih berlangsung sebelum keputusan kenaikan tarif air dimuktamadkan pada peringkat Kerajaan Negeri, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya tidak boleh bergerak sendirian dan perlu menunggu maklum balas di peringkat persekutuan sebelum ia dilaksanakan.

“Kalau dilaksanakan (kenaikan tarif) ia secara menyeluruh bersama negeri-negeri lain, maka saya tidak boleh bergerak sendirian. Saya harus menunggu maklum balas daripada (kerajaan) persekutuan,” katanya.

Beliau menjawab berhubung status perbincangan tarif air selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Katanya, semua aspek dinilai sebelum sebarang cadangan termasuk pemberian rebat dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan kerana ia turut membabitkan program pemberian air percuma.

“Kita baru ambil alih (pengurusan) air sekitar satu dua tahun. Selepas ambil alih kita sudah membuat pelan perniagaan dan semua perlu diperincikan kerana kita mempunyai dasar pemberian air percuma.

“Kita kena melihat semua aspek sebab yang paling penting bagi saya adalah kemampanan bekalan air dan kemampuan untuk menyelenggara oleh syarikat air sendiri,” katanya.


Pengarang :