Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor Daerah Gombak di PPAS Daerah Gombak pada 14 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Tarik pelabur: Buang kerenah birokrasi, SOP remeh – MB

GOMBAK, 14 JAN: Penjawat awam di Selangor perlu membuang kerenah birokrasi dan prosedur operasi standard (SOP) remeh yang boleh menjejaskan kehadiran pelabur kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjawat awam negeri ini perlu meletakkan kedudukan mereka pada standard tinggi serta profesional dalam setiap urusan yang dilakukan.

“Dalam sesetangah perkara, kita jangan susahkan urusan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan mudah. Isu tentang SOP ini saya selalu tekankan.

“Janganlah kita lakukan SOP yang menyusahkan sebaliknya pendekkan atau permudahkan SOP. Semua perkara ini akan mempengaruhi kehadiran pelabur,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini hari ini.

Amirudin berkata amalan sebelum ini yang memerlukan kelulusan antara 365 hingga 400 hari proses memperoleh kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah perlu dibuang.

“Sebab itu Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari untuk menarik kemasukan pelaburan.

“Kerajaan negeri tidak boleh tawarkan benda murah dan percuma contohnya tanah murah atau tanah percuma kerana ia akan jejaskan pendapatan negeri,” katanya.


Pengarang :