Orang ramai berdiri berhampiran bangkai pesawat Ukraine yang mengorbankan semua penumpang dan anak kapal selepas terhempas berhampiran Lapangan Terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini pada 8 Januari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Tentera Iran mengaku tertembak pesawat penumpang Ukraine

TEHRAN, 11 JAN: Angkatan tentera Iran hari ini mengaku tidak sengaja menembak pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737, lapor agensi berita Sputnik.

“Disebabkan kesilapan manusia, pesawat itu secara tidak sengaja ditembak jatuh,” kata staf am tentera Iran dalam satu kenyataan memetik radio dan TV IRIB.

“Kami menyesal, memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada rakyat kita, kepada keluarga semua mangsa dan negara-negara lain yang turut terlibat,” kata Menteri Luar Iran Javad Zarif lapor agensi berita Anadolu.

“Kesilapan manusia berlaku ketika krisis yang disebabkan oleh kenekatan Amerika Syarikat (AS) membawa kepada bencana,” katanya di Twitter.

Agensi berita Fars berkata pada Jumaat, punca nahas itu akan diumum selepas anggota penyiasat termasuk pakar dari Iran dan luar negara bermesyuarat.

AS, Britain dan Kanada pada Khamis mengatakan mereka mempunyai bukti menunjukkan peluru berpandu Iran menembak pesawat penumpang Ukraine.

Pesawat malang itu terhempas pada Rabu lalu sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran, menyebabkan 176 penumpang termasuk sembilan anak kapal terkorban.

Nahas berlaku beberapa jam selepas Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan berpuluh peluru berpandu yang menyasarkan tentera AS di Iraq sebagai serangan balas terhadap kematian komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani.

– BERNAMA


Pengarang :