Anthony Loke Siew Fook mengedarkan cenderahati kepada penumpang sebuah bas pada sesi lawatan kerja sempena tinjauan sambutan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Terminal bas bakal laksana sistem beli tiket tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Kementerian Pengangkutan berusaha untuk memastikan semua terminal pengangkutan bas awam di seluruh negara melaksanakan sistem pembelian tiket menggunakan e-dompet, sekali gus menyokong agenda masyarakat tanpa tunai.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat terminal yang masih belum melaksanakan sistem pembelian tiket secara berpusat (CTS).

“Kalau boleh kita mahu semua (terminal guna sistem tanpa tunai) tetapi kita kena lihat juga kepada kemudahan yang ada dan keadaan di terminal, jadi yang belum ada kemudahan CTS mungkin sukar untuk kita bagi satu tempoh masa,” katanya pada sidang media selepas meninjau penumpang yang pulang ke kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Loke berkata untuk syarikat bas terutama bas henti-henti yang mendapat subsidi daripada kerajaan, mereka disyarat melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai dan akan dilaksanakan berperingkat.

Beliau juga yakin syarikat bas ekspres yang melalui destinasi utama turut dapat melaksanakan usaha tanpa tunai memandangkan beberapa terminal bas utama di negara sudah mengamalkan sistem berkenaan.

Ketika ini, antara terminal yang mengamalkan pembelian tiket tanpa tunai adalah Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak serta TBS yang melancarkan sistem pembelian menggunakan e-dompet hari ini.

TBS menggunakan tiga pengendali platform e-dompet iaitu Boost, Touch ‘n Go dan GCash.

-BERNAMA


Pengarang :