(Gambar hiasan) bawang merah. Foto ihsan majalah Mingguan Wanita
NASIONAL

Tiada bukti sains bawang merah ubati influenza tapi tak salah amal

GOPENG, 18 JAN: Tiada bukti sains menyokong dakwaan penggunaan bawang merah mampu merawat influenza, kata timbalan menteri kesihatan.

Dr Lee Boon Chye berkata sebaliknya orang ramai digalakkan mengamalkan penjagaan kebersihan serta mengambil pemakanan seimbang bagi mengelak penularan jangkitan.

“Tidak salah mengamalkan petua seperti meletakkan hirisan bawang merah atau menggunakan semburan pembunuh kuman asalkan ia tidak berlebih-lebihan dan mencetuskan panik.

“Kita tiada bukti sains menunjukkan petua (penggunaan bawang merah) banyak membantu walaupun kita tak halang ia diamalkan sebab ia tidak jejaskan kesihatan,” katanya selepas pelancaran pembangunan pusat komersial Botani Village di sini, hari ini.

Dr Lee diminta mengulas dakwaan segelintir netizen mendakwa hirisan bawang merah yang diletakkan di persekitaran kawasan kediaman mampu menyerap virus influenza dari terkena jangkitan kepada manusia.

-BERNAMA


Pengarang :