Foto United States Geological Survey
AGENDAGLOBAL

Tiga cedera gempa 6.4 skala richter gegar Xinjiang

BEIJING, 20 JAN: Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang berada dalam keadaan kritikal selepas gempa berukuran 6.4 pada skala richter melanda Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur China pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Gempa itu melanda daerah Jiashi di wilayah Kashgar pada 9.27 malam Ahad (waktu Beijing), diikuti sekurang-kurangnya lapan gegaran susulan, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC).

Beberapa penduduk di Jiashi berkata mereka merasakan gegaran kuat, terutama yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat. Beberapa penduduk keluar meninggalkan rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri.

Mangsa yang cedera termasuk dua kanak-kanak dan diberikan rawatan oleh kakitangan perubatan, kata anggota penyelamat.

Anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan kerja-kerja memindahkan penduduk sedang dijalankan di kawasan yang terjejas.

Sembilan perkhidmatan kereta api penumpang di zon gempa bumi turut digantung sementara.

Pusat gempa dicatatkan pada 39.83 darjah utara dan 77.21 darjah timur dengan kedalaman 16 km, kata CENC dalam satu kenyataan.

Menurut CENC, satu lagi gempa 5.2 pada skala richter magnitud mengegar bandar Artux, tidak jauh dari Jiashi, pada 10.23 malam Ahad (waktu Beijing). Pusat gempa dicatatkan pada 39.89 darjah utara dan 77.46 darjah timur.

-BERNAMA


Pengarang :