Lee Zii Jia. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Tiga jurulatih tambah keyakinan Zii Jia

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Kehadiran tiga jurulatih iaitu Datuk Misbun Sidek, Hendrawan dan Indra Wijaya dalam skuad perseorangan lelaki negara beri kelebihan kepada Lee Zii Jia untuk lebih berkeyakinan.

Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara berusia 22 tahun itu yang mula dibimbing Hendrawan sejak Julai lepas mengakui banyak perubahan positif dirasai dari segi prestasinya.

“Setiap kali tukar jurulatih memang berbeza. Semua jurulatih tidak sama. Setakat ini saya dengan Hendrawan sudah biasa, kemajuan sudah nampak. Saya harap saya masih boleh bekerjasama dengan Hendrawan.

“Bukan Hendrawan sahaja, Misbun dan Indra Wijaya juga telah banyak membantu saya. Saya rasa bangga ada tiga jurulatih yang berada belakang saya. Mereka buat saya lebih yakin,” katanya kepada media selepas menamatkan cabaran pada Kejohanan Masters Malaysia 2020 kelmarin.

Zii Jia mempamerkan aksi cemerlang apabila mara ke saingan separuh akhir namun tewas kepada pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota.

Dalam perkembangan lain, Zii Jia berkata beliau mungkin perlu berbincang dengan jurulatihnya mengenai teman sepelatih baharu selepas Soong Joo Ven digugurkan daripada kem badminton negara.

Selain Joo Ven, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengumumkan pengguguran enam lagi pemain iaitu dua pemain perseorangan lelaki, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah, beregu wanita, Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien dan beregu lelaki berpengalaman, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi

“Bagi saya dalam kem kebangsaan sekarang semua pemain remaja. Saya paling tua. Saya tidak sangka paling tua dalam BAM.

“Mungkin kena mohon untuk teman sepelatih baharu, kerana nampak junior saja yang boleh berlatih dengan saya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :