Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Tiga lagi kes positif jangkitan koronavirus import di Singapura

SINGAPURA, 31 JAN: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan tambahan tiga kes import jangkitan koronavirus 2019, menjadikan jumlahnya di sini menjangkau 13 kes.

Dalam pengumuman maklumat terkininya, kementerian itu berkata ketika ini tiada bukti jangkitan berkenaan merebak dalam kalangan komuniti di Singapura.

Kementerian terbabit mengesahkan ketiga-tiga mereka adalah warga China dari Wuhan dan ketika ini sedang dirawat di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID) di sini.

Kes ke-11 jangkitan itu membabitkan seorang wanita berumur 31 tahun yang tiba di Singapura pada 22 Januari, menemani individu yang disahkan menjadi kes keempat jangkitan koronavirus di Singapura.

Semasa penerbangan ke Singapura, wanita itu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

“Wanita itu mula menunjukkan simptom jangkitan pada 27 Januari dan keputusan ujian mengesahkan ia jangkitan koronavirus kira-kira 11 malam pada 29 Januari,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, kes ke-12 pula membabitkan seorang wanita berumur 37 tahun yang tiba di Singapura bersama dengan keluarganya pada 22 Januari dan mula menunjukkan simptom jangkitan, empat hari kemudian.

Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita berkenaan menginap di Village Hotel Sentosa (10 Artillery Avenue), Hotel 81 Princess (21 Lorong 12 Geylang) dan Home Suite View Hotel (12 Lorong 12 Geylang).

“Wanita itu memberitahu dia melawat Orchard Road serta Geylang, dan menggunakan perkhidmatan teksi untuk melakukan perjalanan,” menurutnya lagi.

Kes ke-13 pula melibatkan seorang wanita berumur 73 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan bersama dengan keluarganya pada 21 Januari.

Wanita itu disahkan positif untuk jangkitan koronavirus kira-kira 2 petang pada 30 Januari.

“Ketiga-tiga kes terbaharu itu berada dalam keadaan stabil ketika ini, dan kita terus memantau kesihatan mereka,” menurut kementerian itu dan menambah tiada satu pun daripada 10 kes terdahulu menampakkan tahap kesihatan yang kritikal.

Kementerian itu berkata kesemua mereka dalam keadaan stabil dan kebanyakannya semakin sembuh.

Sehingga tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Singapura berkata 164 kes suspek jangkitan itu disahkan negatif.

-BERNAMA


Pengarang :