Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menggunakan kamera thermal bagi mengesan suhu pelancong yang mempunyai simptom demam bagi mencegah penularan jangkitan wabak koronavirus 2019 baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMA

Tiga lagi kes positif koronavirus dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Tiga lagi kes positif wabak koronavirus 2019 dilaporkan, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada tujuh setakat ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan awal pagi ini, kesemua tujuh kes itu membabitkan warganegara China.

Tiga kes positif terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi; seorang lelaki berusia 52 tahun yang dirawat di wad isolasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan seorang wanita.

Wanita itu terdahulunya berstatus negatif tetapi mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka (kedua-dua anaknya) dikesan positif.

Sebelum ini, terdapat empat kes positif koronavirus dilaporkan di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata satu kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respons terhadap wabak penyakit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik.

Kapasiti dan keupayaan sedia ada ditingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan koronavirus, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :