Mayat salah seorang pelajar yang hilang semasa mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun ditemui pagi ini, 19 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga pelajar ditemui mati lemas, seorang masih hilang

DUNGUN, 19 JAN: Tiga daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Teluk Bidara di sini Jumaat lepas, ditemui mati lemas setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dari Kuala Terengganu ditemui pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Al Rashid Mohamed dari Kuantan, Pahang ditemui terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer dari mayat Muhammad Ikhwan, katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki dari Kemaman ditemui orang awam terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort di sini pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berumur 21 tahun dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata ketika ini usaha mencari dan mengesan Mohamad Amir Izzudin dari Melaka, sedang dipergiatkan.

– BERNAMA


Pengarang :