Pemain Selangor, Muhammad Syahmi Safari (dua dari kanan) menjawab pertanyaan peminat ketika sesi ramah mesra bersama skuad bola sepak itu di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 12 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Tiga pemain baharu Gergasi Merah mahu pamer aksi terbaik

SHAH ALAM, 12 JAN: Tiga pemain baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersemangat melakukan yang terbaik buat The Red Giants dalam Kejohanan Asia Challenge 2020.

Brendan Gan, pemain kacukan Malaysia-Australia berkata beliau tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan yang menjadi medan pasukan mempamer kehebatan masing-masing.

“Ini adalah ujian terbaik bagi pembukaan 2020, malah saya sendiri akan melakukan yang terbaik supaya penyokong teruja menyaksikan pasukan Selangor.

“Sama ada bermain dengan pasukan terkenal atau tidak, fokus utama adalah memenangi perlawanan,” katanya ketika ditemui pada program ‘Meet & Greet’ di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Rodney Celvin Akwensivi mengakui barisan pemain Selangor memiliki prestasi hebat dan menjadi motivasi kepadanya untuk melakukan perkara sama.

“Saya menyasarkan sekurang-kurangnya satu atau dua piala untuk Selangor selain berusaha menambahbaik prestasi dari semasa ke semasa,” kata pemain posisi pertahanan itu.

Muhammad Syahmi Safari pula berkata peluang beraksi dengan pasukan hebat Asia memberi pengalaman baharu kepadanya untuk memantapkan diri.

“Kejohanan ini persediaan baik untuk pembukaan musim dan pasukan yang menyertai juga bukan calang-calang, justeru kami berharap persaingan kali ini memberi pengalaman berharga kepada Selangor,” kata pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018.


Pengarang :