NASIONAL

Tindakan tegas terhadap peniaga naik harga tidak munasabah

PUTRAJAYA, 19 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah sempena Tahun Baharu Cina.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian tidak akan bertolak ansur dengan pihak melakukan pencatutan atau tidak patuh kepada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020.

Rampasan serta tindakan tegas dalam bentuk denda dan/atau penjara juga akan dikenakan, kata beliau dalam satu kenyataan susulan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkenaan kenaikan harga sayuran baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan peniaga SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 akan berkuat kuasa mulai 20 Januari hingga 2 Februari ini, dengan harga maksimum ditetapkan bagi 16 barangan keperluan utama.

“Lebih 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan aktif memantau semua premis peniagaan bagi memastikan kepatuhan dengan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 dan tidak berlaku pencatutan,” katanya.

Saifuddin berkata pegawai penguatkuasa KPDNHEP diarahkan memberi Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 kepada premis menaikkan harga bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca kenaikan.

Pengguna juga boleh menyumbang kepada usaha ini dengan melaporkan kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan termasuk saluran WhatsApp di talian 019-2794317, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :