Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) menaiki wagon bagi menyaksikan pameran jentera-jentera berat industri rel milik Depot Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) sempena lawatan beliau di depot berkenaan pada 13 Januari 2020 yang turut disertai Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (dua, kiri), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) dan Pengerusi Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd Tan Sri Mohd Azumi Mohamed (kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tindakan terhadap ahli BERSATU terlibat dadah

SERENDAH, 13 JAN: BERSATU hari ini memberi amaran untuk mengenakan tindakan terhadap ahlinya jika mereka antara 17 orang yang ditahan dalam satu kes dadah semalam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata bagaimanapun, parti itu perlu mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut, sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita akan tunggu maklumat sebelum kami putuskan apa nak buat. Tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang. Tidak kira siapa anda. Malah jika saya langgar undang-undang, saya akan masuk penjara,” katanya selepas melawat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Berhad di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini berkata 17 orang ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, semalam, dengan kebanyakan mereka didapati positif dadah.

Dr Mahathir ditanya media mengenai penahanan seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) dari BERSATU yang telah disahkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari, hari ini.

Penahanan ADN tersebut viral di media sosial hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :